|
|
|
MATI : Satu Perjalanan Pasti...
MARI BICARA TENTANG MAUT! Mati, siapa mahu mati, angkat tangan! Ah, di dunia ini, hanya orang yang sayangkan dunia, akan bencikan mati. Kerana mati adalah musuh, mati adalah perpisahan daripada dunia yang menawan, sungguh? Dalam hayat dunia maddiyah(materialistik) kini, bukan mudah kita mahu mencari insan-insan yang begitu cintakan kematian, begitu sayangkan Tuhan, begitu kasihkan darjat Syuhada'. Kecuali, hanya kita akan dapati kecintaan itu berkembang subur di bumi-bumi anbiya', ladang-ladang syuhada', taman-taman kematian yang sungguh kita saksikan tiap hari, baca: teliti, dengar : hayati dalam radio mahupun media tuli! Mati adalah terminal yang pasti disinggahi. Siapa yang berani menyanggah kenyataan itu tentu bukan orang yang mempercayai. Bila ajal datang menjelang, Malaikat Izrail (Ingat, Izrail, bukan Israel. Jangan jadi seperti 'orang itu' yang tak tahu membezakan antara malaikat dengan kaum spesis kera!) mainkan peran, nyawa tercabut tubuhpun meregang, Allahu Akbar janji-Mu telah datang! Firman Allah dalam kitab sucinya, "Kullu nafsin zaiqatul maut" "Likulli ummatin ajala" yang bermaksud "Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati" dan "Bagi setiap ummat itu ajal(tempoh)nya". Allah telah menetapkan tempoh hidup bagi setiap yang bernyawa. Justeru, hal yang telah ditetapkan sejak azali ini, bahkan semasa ditiupkan roh ke dalam jasad kita sebelum ini, maka manusia telah ditentukan waktu bila ia akan dicabut rohnya keluar dari jasad. Cuma bilakah waktu yang tepat, tempat yang tetap, tiada siapa yang tahu melainkan Allah semata. Larilah ke penghujung dunia, kuncikanlah diri dalam bilik sekebaltebal mana sekalipun, pasti kita tidak dapat lari dari maut yang berkunjung. Maut itu ada di mana-mana. Bahkan diriwayatkan dalam satu hadith, malaikat Maut telah hafal dan kenal benar akan rupa, peribadi setiap manusia, dek kerana kerapnya berkunjung menemui manusia tanpa disedari olehnya sebanyak 70 kali setiap hari. Maut sebenarnya datang dan ditentukan ajalnya oleh Allah, hanya Allah menjadikan sebab kematian sebagai bukti kepada manusia. Contohnya, si polan bin si polan mati kemalangan. Sebab kematian dikatakan kemalangan tetapi sebenarnya ajal itu telah ditentukan Allah. Dijadikan sebab mati itu adalah kerana dunia adalah darul asbab yakni dunia ini memerlukan sebab berlakunya sesuatu. Namun telah banyak kes kematian yang kita tidak dapat temui sebabnya, maka bukankah Allah Maha Berkuasa? Peringatan mati ini sebenarnya adalah peringatan yang paling berkesan buat yang beriman. Jika tidak beriman, sukarlah ia menjadi peringatan yang baik. Maka, kunjungilah kuburan, melihat majlis kematian, maka iman akan bertambah.(tambahan: Rumah Mayat boleh, perhimpunan Burung Kakak Tua pun boleh!) Mati, akan menyebabkan peminjam tubuh(apa yang ada adalah pinjaman daripada Tuhan) merasakan takut dan cuba bersedia apabila waktu pemulangan pinjaman sudah hampir tiba. Adakah amal telah cukup, solat yang didirikan telah ditunaikan dengan sebaik-baiknya, puasa, zakat, sedeqah, haji dan sebagainya telah dilunaskan dengan sempurna? Bagaimana pula dengan maksiat dan kemungkaran yang dilakukan? Sudahkah dipohon ampun dan bertaubat? Muhasabahlah diri andai kita masih leka mengejar duniawi mengabaikan ukhrawi. Maut juga adalah satu proses perpindahan ke alam kubur yang menentukan baik buruknya amalan, dilihat pada tanda-tanda sebelum mati. Kalau mati itu dalam keadaan baik, husnul khatimah, maka akan terlihatlah wajah yang berseri, urusan menyelesaikan jenazah dilakukan dengan mudah dan sempurna, ramai orang yang datang menyolatkannya dan lain-lain lagi. Ada juga jasad atau kubur yang berbau harum sebagai penghormatan Allah kepada hamba-Nya yang mulia. Insya-Allah, beliau akan ditempatkan di syurga. Namun jika buruk kesudahannya, suul khatimah, maka akan terlihatlah pula tanda-tanda mengaibkan mayat, urusan menjadi susah, sebelum mati payah mengucap(bahkan tidak mengucap langsung dua kalimah syahadah pun ada) dan lain-lain, maka mungkin di nerakalah tempat tinggal tetapnya. Ada pula ulama yang mengatakan, seksa kubur akan mengurangkan seksaan di neraka, wallahu taala a'lam. Na'uzubillahi min azabil qabr wa azabin naar! Tapi, antara mati dan hidup, sebenarnya, manakah yang lebih baik? Matikah? Hidupkah? Atau kedua-duanya? Mati? Kenapa mati? Kenapa hidup? Tuhan beri Ya, memang Tuhan tentu Tapi... Mati wajib Hidup tak tentu lagi Hidup pasti mati Mati pun pasti hidup lagi Cuma hidup itu tak mesti. Mana baik? Mati @ hidup? Hidup berjasa, mati mulia Mati berdosa, hidup bergelumang noda, Mati baik, hidup sama. Hidup Tanpa makna tanpa jiwa tanpa rasa Baik mati Mati tanpa bekal tanpa amal tanpa sesal baik hidup Hidup @ Matikah yang lebih baik? -wewr-120802-RK-N9 Betul, dua-dua ada kelebihan. Ada kekurangan. Mati, sudah tentu tak boleh tambah amal lagi. Kalau dibenar pun, hanya ada 3 talian hayat(sepatutnya talian maut!) yang anda boleh pilih dan gunakan. Talian anak soleh doa diangkat, talian harta amal jariah berkat, dan talian ilmu yang dimanfaat. Kalau mahu guna yang lain, macam talian tanya sidang penonton, penonton hanya tahu tonton tanah yang merah, penonton hanya pandai jenguk-jenguk lubang lahad, tak berani dekat. Kalau mahu telefon kawan di rumah saja, anda perlu tersengih semata, telefon sudah tiada, tertinggal di rumah adanya! Kalau mahu sedikitkan jawapan, buang separuh misalnya, jua tidak boleh, kawan. Ya, kerana Malaikat Munkar dan Nakir itu, skrip soalannya tetap sama, tak boleh dikerat-kerat macam LPF menapis filem konon saksama, macam Erma Fatima menggugurtambah babak-babak yang dia suka dalam skrip filem Embun yang banyak labunnya. Yang pasti soalan kubur adalah menentukan mana hala tuju terminal selepas ini, sama ada menaiki pesawat syurga(burung hijau: milik syuhada' yang diangkat roh ke syurga sebagai burung), atau terhempas dengan helikopter neraka! Hidup pula, banyak sangat pancaroba. Biarpun boleh berbuat amal, mengerja ibadah buat bekal, namun nampaknya syaitan dan nafsu yang menggoda terlalu sial! Bak roda berputaran, sekejap merudum, sebentar mendaki gunung. Bila hidup ini jatuh merudum bak ekonomi Malaysia yang gawat, maka putuslah persahabatan sesama kawan, hauslah perhubungan dengan Tuhan. Bila hidup jadi naik meningkat, darjat pun turut diangkat dan terasa Tuhan memberkat! Jadi bagaimana kita ini? Ya, hidup boleh diteruskan, tapi maut dilupa jangan. Hidup boleh dikerjakan, tapi akhirat terminal kepastian. Biar bagai hidup seribu tahun kita ini bekerja, namun untuk akhirat kita ini bagai mati esok saja. Jalan kiri dan kanan kita boleh pilihkan, yang mana kita mahu, kita diberi can. Maka pilih yang baik, jangan pilih yang buruk, kelak hidup kita bakal teruk! Pilihlah jalanmu.......Kerana jalan kita hanya perlu satu, jalan menuju Yang Satu! ------------------------------------------ Laman Menarik: Istisyhad.Com
by wewr on
14 Mar 2003 at 9:44
0 comments
|